Monday, 9 September 2013

Masalah Yang Sering Berlaku Semasa Penyusuan Ibu

Banyak halangan yang mungkin perlu anda tempuh sepanjang usaha menyusukan bayi. Sebagai persediaan awal,ketahui panduan berkaitan jika anda ditimpa masalah penyusuan.

Bengkak Susu
Masalah bengkak susu akan berkurangan jika ibu menyusukan bayi. Antara simptom bengkak susu iaitu payudara nampak berkilat,sakit,tegang,keras dan rasa agak panas bila dipegang. Keadaan puting agak leper,bengkak atau merekah. Selain itu,bayi anda akan sukar menyusu,hisapan kurang efektif kerana pengaliran susu yang tidak lancar.



Punca berlakunya pembengkakan susu ialah ibu jarang menyusukan bayi,menghadkan masa menyusu atau penyusuan yang terlalu singkat,tidak menyusukan pada waktu malam,hisapan kurang efektif atau ibu mula memberi anak minuman lain pada awal kelahirannya.

Cara mengatasi masalah ini : 
  • Betulkan posisi semasa mendakap bayi untuk disusukan.
  • Susukan bayi dengan kerap tanpa had siang dan malam
  • Perah susu jika berpisah sekurang-kurangnya enam kali sehari dan sekali pada waktu malam.
  • Kejutkan bayi yang sedang tidur untuk menyusu sekurang-kurangnya 2 jam sekali.
  • Tuam dan urut perlahan-lahan payudara sebelum menyusukan.
  • Mula menyusukan bayi sebaik sahaja payudara keras dan penuh.
  • Minta bantuan sesiapa untuk mengurut bahagian tengkuk sebelum menyusukan bayi.

Saluran Susu Tersumbat
Masalah ini terjadi apabila satu atau lebih saluran susu tersumbat. Mungkin payu dara anda kelihatan biasa tetapi bila disentuh ada ketulan di bahagian tertentu dan terasa sakit. Selain itu,payu dara kelihatan agak kemerahan.

Bila menghadapi situasi tersebut anda perlu  : 
  • Membetulkan posisi dan dakapan untuk memastikan pengaliran susu yang lebih efektif.
  • Urut perlahan-lahan di sekeliling payu dara hingga ke puting sebelum dan semasa penyusuan atau memerah.
  • Sokong payu dara dengan telapak tangan.
  • Elak tidur meniarap atau memakai baju dalam ketat.  


Mastitis
Masalah ini perlu diberi perhatian! Antara simptom yang dialami termasuk demam selesema,payu dara akan berasa hangat,merah dan bengkak serta sakit. Puncanya sama seperti bengkak susu dan saluran susu tersumbat.

Cara mengatasi masalah mastitis ini  :  
  • Periksa payu dara untuk melihat simptom tisu rosak dan puting merekah. Perbetulkan pengaliran susu dengan memperbaiki posisi dan dakapan
  • Kerap menyusu. Sekurang-kurangnya setiap 2 hingga 2 1/2 jam
  • Ambil ubat segera jika berlaku apa-apa jangkitan
  • Amalkan pemakanan berkhasiat dan banyak minum air.  
Jika simptom semakin jelas dan berlaku rekahan,kerap demam dan pengaliran susu yang kurang sempurna,rawat dengan antibiotik. Jika bimbang mengenai perkara ini,dapatkan rawatan awal.


Tidak Cukup Susu
"Tidak cukup susu" sering menjadi alasan untuk ibu berhenti menyusukan bayi. Anggapan pengaliran susu tidak mencukupi untuk bayi adalah salah. Antara punca "susu tidak cukup" ialah dakapan yang lemah hingga menyebabkan hisapan kurang efektif dan pengaliran susu menjadi kurang. Antara lain masa penyusuan terlalu singkat,tidak mempunyai susu akhir,jarang menyusu kurang daripada lapan kali dalam tempoh 24 jam, tidak menyusu di waktu malam dan banyak lagi. 

Jika terasa susu kurang,ibu boleh menambah dengan :  
  • Perbetulkan posisi semasa menyusu.
  • Lebih kerap menyusu sekurang-kurangnya 10 kali dalam tempoh 24 jam.
  • Tidur berdekatan bayi dan susukan dia di awal pagi ketika tahap prolaktin tinggi.
  • Perah susu ibu selepas setiap kali penyusuan.
  • Tanamkan keyakinan bahawa anda boleh menyusu dan mengeluarkan bekalan susu yang cukup untuk keperluan bayi.


Puting Bengkak dan Sakit
Jika payu dara atau puting mengalami rasa sakit atau tidak selesa,pengurusan penyusuan mesti dinilai semula. Penyusuan tidak sepatutnya menyakitkan. Simptom seperti tidak selesa (gatal,rasa panas),sakit, merekah,ruam (dermatitis,Herpes), kemerahan,kulit berkeping,kulit berkilat dan sakit selepas menyusu adalah tanda puting payu dara bengkak dan sakit.

Punca masalah tersebut disebabkan oleh faktor dakapan dan posisi kedudukan yang tidak betul,bengkak susu,salah hisapan,bayi keliru antara hisapan puting botol dan penyusuan ibu atau jika makanan tambahan telah diberi.

Cara untuk mengatasi masalah ini  :
  • Mengurangkan bengkak susu di sekeliling puting dan areola. Jika perlu perah dengan jari secara lembut.
  • Jika rekahan puting semakin teruk,perah susu dengan tangan dan beri kepada bayi selama 1 atau 2 hari.
  • Sebelum menyusukan bayi,tuam payu dara untuk merangsang pengaliran susu. Mulakan penyusuan di sebelah payu dara yang kurang sakit.
  • Susui bayi secara kerap,mengikut keperluan bayi dan elak daripada menghadkan penyusuan.
  • Selepas menyusu,perah sedikit susu akhir yang berlemak dan sapu pada puting. Biarkan kering.
  • Elak guna sabun dan alkohol untuk mencuci puting.   

Roshalina Shahlan
Shaklee Independent Distributor ( ID : 910043)
contact no |  whatsapp : 012-369 3469
FB Page : Vitamin Store

No comments:

Post a Comment

 

Copyright © 2011 Reserved to Chantik Menarik Design with love by CikBulat